Rentetan kejayaan pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencipta sejarah menjulang Piala TNB 2018 yang merupakan kejayaan sulung mereka dalam tempoh sembilan tahun dalam kancah liga hoki tempatan, pihak pengurusan berjanji akan memberikan ganjaran buat kesemua pemain serta barisan kejurulatihan.

Sehari selepas mengukir kejayaan bersejarah itu, barisan pemain dan kejurulatihan UniKL diraikan dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur semalam.

Dalam perlawanan akhir kelmarin, UniKL berjaya menundukkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan pasukan, pihak pengurusan sedang menimbangkan ganjaran yang bersesuaian untuk diberikan kepada semua yang menjadi pendokong kepada kejayaan UniKL, musim ini.

"Kami sedang menimbangkan untuk memberikan sedikit imbuhan serta bonus kepada seluruh pasukan dan ia bakal diumumkan dalam masa terdekat," ujar Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud.

Buat beberapa pemain senior, ia satu kejayan yang cukup manis selepas sekian lama menabur bakti buat pasukan UniKL, antaranya Baljit Singh yang telah bersama skuad itu sejak tahun 2012 serta Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin yang telah pun beraksi selam lima musim.

"Saya menyertai UniKL hanya untuk memenangi kejuaraan ini. Kami sangat bangga dan gembira dengan kejayaan ini," ujar Baljit.

"Saya amat gembira dengan kejayaan semalam kerana sudah sangat lama menunggu untuk menjulang Piala TNB," tambah Izwan.