Pertahanan skuad hoki negara, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, dan penyerang, Nor Syafiq Sumantri, berpeluang cerah untuk dipilih ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 ekoran kecederaan beberapa tonggak utama negara.

Masalah melibatkan kecergasan dan kecederaan yang menimpa tiga pemain utama seperti Mohd Marhan Abdul Jalil, Izad Hakimi Jamaluddin dan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, secara tidak langsung membuka peluang untuk pemain baru melakukan penampilan sulung dalam Sukan Komanwel.

Dalam masa sama, Syed Syafiq dan Nor Syafiq adalah antara pemain muda yang mempamerkan aksi memikat ketika Malaysia meraih tangga keempat Piala Sultan Azlan Shah, minggu lalu.

Ketua jurulatih, Stephen van Huizen, kini sudah memiliki senarai 18 pemain terbaik untuk dibawa ke Gold Coast dan hanya menunggu lampu hijau Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membuat pengumuman.

"Selepas terpaksa melupakan beberapa nama ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah seperti Sukri Mutalib dan Izad, amat penting buat pemain lain untuk cuba merebut tempat dalam pasukan.

"Mohamad Syafiq dan Syafiq Sumantri membuktikan kemampuan apabila diberi peluang beraksi. Apa yang penting, mereka menunjukkan kebolehan mereka," kata Van Huizen.

Empat tahun lalu di Glasgow, Scotland, Malaysia hanya menduduki tangga ketujuh, sekali gus menjadikan pencapaian pada tahun 1998 di Kuala Lumpur sebagai kejayaan terbesar skuad hoki di pentas Sukan Komanwel.