Kenangan meraih pingat gangsa dalam Sukan Komanwel 2006 ingin diulangi penyerang hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, untuk membantu skuad negara dalam temasya di Gold Coast, dari 4 hingga 15 April ini.

Tengku Ahmad Tajuddin menjadi satu-satunya pemain daripada 18 orang yang menikmati kilauan pingat di Melbourne 12 tahun lalu selepas menundukkan England 2-0 untuk meraih tempat ketiga.

Berada dalam kumpulan maut bersama-sama India, England, Pakistan dan Wales dalam edisi ini, sememangnya bukan mudah untuk mengulangi pencapaian itu, apatah lagi jika ingin menyamai prestasi negara yang mara ke final pada tahun 1998.

Tetapi, ia satu penghargaan buat pemain berusia 32 tahun ini untuk terus diberi kepercayaan menggalas cabaran dengan melihat kemampuan pasukan yang berada di landasan tepat selepas mereka terpilih ke Program Podium tahun ini.

"Berada dalam program ini meningkatkan kemampuan pasukan untuk kembali memberikan saingan dalam Sukan Komanwel," kata Tengku Ahmad Tajuddin.

Ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, pula menganggap tiada apa lagi yang perlu diingatkan kepada anak buahnya yang dilihat sudah bersedia sepenuhnya, selain hanya menikmati tiga aksi persahabatan di Gold Coast bermula 29 Mac ini sebelum saingan sebenar bermula.

"Ini merupakan peluang terbaik buat pemain-pemain hoki negara, terutama yang masih muda, untuk mencipta kejayaan buat negara," katanya.