Gold Coast 2018: Sukri kembali pimpin skuad negara

Oleh Staff Writer 23 Mac 2018 3206
Gold Coast 2018: Sukri kembali pimpin skuad negara
Pertahanan skuad hoki negara, Mohamad Sukri Mutalib, akan kembali memakai lilitan kapten dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018, bermula dengan ujian awal menerusi tiga aksi persahabatan minggu depan, termasuk pertemuan menentang pasukan ranking pertama dunia, Australia.

Kehadiran semula Sukri selepas pulih daripada kecederaan paha jelas satu perkembangan yang cukup melegakan buat pengendali, Stephen Van Huizen.

Pertahanan itu terlepas aksi Piala Sultan Azlan Shah sehingga membolehkan seorang lagi pertahanan senior, Muhammad Razie Abd Rahim, dilantik sebagai sebagai kapten.

Namun, kini tiada sebarang perdebatan mengenai siapa yang akan memakai lilitan ketua pasukan di Gold Coast dengan kapten sebenar sudah kembali.

"Apa yang penting adalah kekuatan pasukan. Setiap individu yang menjadi kapten harus memainkan peranan besar dalam skuad.

"Bagi saya, kami sebagai pemain diberi tanggungjawab untuk mengetuai pasukan harus memimpin pemain-pemain muda untuk sama-sama membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi," kata Sukri.

"Setakat ini, Razie menjalankan tugas dengan baik dan dia sendiri adalah bekas kapten.

"Buat masa sekarang, jika melihat kepada senarai yang saya miliki, Sukri akan mengetuai pasukan tetapi sekiranya berlaku apa-apa masalah kepadanya, Razie akan mengambil-alih," tambah Van Huizen.

Skuad negara dijadualkan berlepas ke Gold Coast pada Isnin depan dan Malaysia akan mengadakan tiga aksi persahabatan, termasuk dua kali menentang New South Wales, sebelum berdepan Australia yang juga juara bertahan pada 3 April.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen