"Kurangkan aksi bertahan, fokus kepada menyerang." Itu keutamaan pemain hoki wanita negara, Norbaini Hashim, menjelang Sukan Komanwel Gold Coast 2018 selepas teknik bertahan diketengahkan dalam edisi lalu di Glasgow, Scotland.

Skuad wanita negara perlu lari daripada bayangan teknik bertahan sebagaimana dalam temasya Glasgow 2014 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Norbaini, yang bakal membuat penampilan keempat di pentas Sukan Komanwel sejak 2006, menganggap sudah tiba masanya mereka fokus kepada aksi menyerang sekiranya ingin memperbaiki pencapaian empat tahun lalu.

"Ketika ini, kami lebih banyak menggunakan taktikal menyerang berbanding edisi lalu.

"Kami giat menjalani latihan taktikal, membuat serangan atau ketika bertahan pukulan sudut penalti serta menjaringkan gol," kata Norbaini.

Malaysia perlu bersaing dengan England, India, Afrika Selatan dan Wales dalam Kumpulan A di Gold Coast, bulan depan.

Seorang lagi pemain, Surizan Awang Noh, pula menyifatkan masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki dalam masa singkat dan bukan mudah untuk terus konsisten menerusi aksi persahabatan dengan Jepun B-21, tempoh hari.

"Banyak yang perlu diperkemaskan, terutama aspek kecergasan bagi membantu saya melalui tekanan," kata Surizan.