Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki skuad hoki negara selepas menewaskan New South Wales 4-2 dalam perlawanan persahabatan menjelang Sukan Komanwel Gold Coast, dengan ketua pasukan, Sukri Mutalib, menyatakan kebimbangan terhadap risiko kecederaan rakan sepasukannya.

Kemenangan di Gold Coast membuktikan pemain sudah dapat menyesuaikan diri dengan permukaan padang dan cuaca.

Bagaimanapun, tindakan provokasi pemain lawan mampu mengundang kecederaan saat-saat akhir yang boleh menjejaskan peluang Malaysia dalam aksi Kumpulan B nanti.

"Banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki kerana kejohanan sebenar lebih sukar tetapi apa yang bagus hari ini, kami tidak patah semangat walaupun pada suatu ketika, pihak lawan berjaya mengikat kedudukan 2-2.

"Ada beberapa provokasi berlaku tetapi kami tidak bermain secara beremosi dan akhirnya menang 4-2," kata Sukri.

Penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, menjaringkan dua gol sementara pemain tengah, Fitri Saari, dan pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, masing-masing mencetak satu gol.

Malaysia akan berdepan New South Wales dalam aksi ujian kedua esok, disusuli aksi dengan pasukan nombor satu dunia, Australia, pada Selasa sebelum memulakan kempen menentang England.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pingat perak dalam temasya Kuala Lumpur 1998 yang menyaksikan skuad negara ketika itu diketuai Datuk Mirnawan Nawawi.

"Bagi saya, agak sukar untuk mengulangi pencapaian Sukan Komanwel 1998 tetapi harapan saya, pemain dapat memberikan aksi 100 peratus dalam setiap perlawanan.

"Jika Malaysia layak ke separuh akhir, itu adalah satu kejayaan yang besar," ujar Mirnawan.