Gold Coast 2018: Skuad hoki mampu raih kedudukan empat terbaik

Oleh Staff Writer 24 Mac 2018 3235
Gold Coast 2018: Skuad hoki mampu raih kedudukan empat terbaik
Jurulatih legenda dunia, Martijn Drijver dan David Bell, menganggap skuad hoki negara mampu mencabar Sukan Komanwel Gold Coast 2018 walaupun dianggap pasukan bukan pilihan dalam saingan Kumpulan B.

Drijver dan Bell baru sahaja menamatkan program latihan selama lima hari di Bukit Jalil berbekalkan reputasi besar di pentas antarabangsa kerana pernah membantu pasukan handalan seperti Australia, Belanda atau India sehingga muncul selaku gergasi hoki dunia.

Sepanjang di Bukit Jalil, Drijver yang kini menjadi jurulatih penjaga gol kebangsaan dapat melihat kesungguhan pemain muda negara untuk terpilih ke Gold Coast dan ia mampu mengubah nasib Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan.

"Mereka tidak memiliki begitu banyak pengalaman di peringkat antarabangsa tetapi kami bekerja keras bersama mereka dalam usaha untuk menjadikan permainan mereka semakin matang dan meningkat.

"Seperti S. Kumar (penjaga gol kebangsaan), mereka tampak mampu mempamerkan aksi-aksi tangkas di bahagian gol," kata Drijver.

"Saya rasa kita harus menjadi lebih realistik. Sukan adalah tentang perkembangan dan jika anda hanya memikirkan kejayaan tanpa melihat proses itu, anda mungkin gagal meraihnya.

"Kebanyakan pemain Malaysia ketika ini tidak menghiraukan keputusan tetapi mampu melakukannya dengan baik ketika dalam kejohanan besar seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia," tambah Bell.

Skuad negara yang diketuai Sukri Mutalib akan mengadakan aksi persahabatan menentang New South Wales dan pasukan yang menduduki tangga teratas dunia, Australia, sebelum memulakan cabaran dalam Kumpulan B.

Malaysia diundi bersama India, England, Pakistan dan Wales, dengan dua pasukan teratas kumpulan akan melayakkan diri ke separuh akhir.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen