Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, berdepan cabaran untuk mengulangi kejayaan skuad 1998 yang mara ke final Sukan Komanwel biarpun Malaysia diundi dalam kumpulan maut menjelang temasya di Gold Coast, bulan depan.

Malaysia memperkenalkan acara hoki ketika menjadi tuan rumah Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Ketika itu, skuad diketuai Datuk Mirnawan Nawawi mencipta sejarah mara ke final, sekali gus menjadi pencapaian terbaik Malaysia dalam temasya itu.

Di Gold Coast, Malaysia berdepan cabaran getir untuk mengulangi pencapaian itu.



Skuad kendalian Stephen Van Huizen itu diundi dalam Kumpulan B bersama India, England, Pakistan dan Wales.

Juara bertahan, Australia, pula dilihat selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan A.

Ia sudah cukup untuk mengundang keraguan mengenai peluang Malaysia, situasi sama seperti 20 tahun lalu.

"Melihat kepada undian Kumpulan B, ia adalah satu saingan yang sengit dan peluang kami adalah 50-50," kata Sukri.

"Saya yakin dengan kemampuan pasukan dan akan memberikan yang terbaik di Gold Coast nanti.

"Kami telah berdepan dua pasukan daripada Kumpulan B, India dan England dan kami telah tewas dalam kedua-dua perlawanan lalu (saingan Piala Sultan Azlan Shah 2018)," kata Van Huizen.

"Setiap perlawanan adalah penting. Mengetahui cabaran yang menanti Malaysia, kami akan cuba memberikan kejutan kepada pasukan yang berada dalam ranking yang lebih tinggi berbanding kami," katanya.

Berdasarkan ranking dunia, Malaysia adalah pasukan pilihan keenam.

Situasinya hampir sama dengan 20 tahun lalu tetapi siapa sangka, kejutan boleh berlaku di Gold Coast Hockey Centre apabila Malaysia menurunkan gabungan pemain senior dan muda.

Dalam saingan wanita, Malaysia turun sebagai pasukan underdog.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama India, England, Afrika Selatan dan Wales.

Tidak banyak harapan diletakkan kepada Siti Noor Amarina Ruhani dan rakan-rakan memandangkan pencapaian terbaik mereka ialah tangga ketujuh di Glasgow.