Skuad hoki wanita negara mendapat tonik terbaik apabila mendapatkan khidmat bekas jurulatih Australia, David Bell, sebagai perunding yang menjadi pemangkin prestasi untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast yang hanya berbaki dua minggu lagi.

Ini kunjungan kedua Bell ke ibu negara selepas turut dijemput Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), dua tahun lalu.

Bell memiliki reputasi sebagai bekas pemain yang memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik Montreal 1976 serta pernah membimbing skuad hoki wanita Australia.

Turut dijemput, Martin Drijver, yang sebelum ini bertanggungjawab membimbing penjaga gol terbaik dunia, David Harte.

Mereka sekali lagi meluangkan masa di Malaysia selama seminggu untuk mencurahkan kepakaran kepada skuad wanita dan lelaki negara bagi menajamkan lagi aspek teknikal setiap pemain menjelang temasya Gold Coast 2018, dari 4 hingga 15 April nanti.

"Saya pernah hadir di sini dua tahun lalu untuk mengadakan sesi yang hampir serupa.

"Pemain Malaysia mempunyai kebolehan dan pengetahuan," kata Bell.

Sebagai persiapan ke Sukan Komanwel, ramai muka lama dikekalkan kecuali seorang muka baru, Nur Amirah Syakirah Zulkifli, 18.

Ia menjadi pengubat duka buat Amirah untuk membuat kemuncalan pertama bersama skuad senior selepas namanya digugurkan daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2018 pada saat-saat akhir ekoran masalah kesihatan.

"Tahun ini, saya akan berusaha untuk bermain sehabis baik, namun dalam masa sama, perlu mengambil pendekatan berhati-hati agar tidak terlepas kempen di Gold Coast nanti," ujarnya.