Gold Coast 2018: Marhan tercicir akibat kecederaan 

Oleh Staff Writer 20 Mac 2018 899
Gold Coast 2018: Marhan tercicir akibat kecederaan 
Pemain tengah skuad hoki negara, Mohd Marhan Abd Jalil, terpaksa melupakan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 selepas mengalami patah jari kaki yang memaksanya berehat sekurang-kurangnya dua bulan. 

Marhan sekadar menjadi penonton dalam sesi latihan skuad negara di Bukit Jalil, pagi tadi.

Jari kakinya disahkan patah dalam usahanya menghalang pukulan sudut penalti pertahanan Argentina, Gonzalo Peillat, dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Azlan Shah, minggu lalu. 

Sehubungan itu, Marhan terpaksa melupakan temasya Gold Coast 2018 dari 4 hingga 15 April ini.  

"Langkah terbaik yang perlu diambil adalah pulih 100 peratus daripada kecederaan.

"Kalau saya tidak bersedia untuk ke Gold Coast, ini bermakna saya tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus di atas padang, jadi tiada gunanya. 

"Setelah mendapatkan perkembangan kecederaan ini, barulah kita boleh menjangkakan saya akan pulih sepenuhnya. 

"Tahap kecederaan ini masih dalam perbincangan. Setakat ini, saya hanya menjalani fisioterapi dan mengikuti nasihat doktor," katanya. 

Selain Marhan, skuad negara turut berdepan risiko hilang beberapa pemain lain ekoran kecederaan. 

Pertahanan, Izad Hakimi Jamaluddin, belum pulih daripada kecederaan lutut sementara penyerang, Nik Mohd Aiman Nick Rozemi, cedera buku lali. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen