Menjelang Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini, khidmat tonggak tengah, Mohd Marhan Jalil, terpaksa disisihkan kerana patah salah satu tulang di antara jari kaki ketika membantu Malaysia dalam Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Marhan, ketika ditemui, meluahkan sedikit kesedihan kerana tidak dapat membantu The Malaysian Tigers menggalas tugas dalam Sukan Komanwel.

Namun, dia lebih menitikberatkan soal pemulihan kecederaannya dan tidak mahu ia mengganggu perancangan pasukan di Gold Coast.

“Kecederaan yang saya alami ini mungkin boleh pulih dalam masa terdekat, cuma saya tidak mahu mengambil risiko untuk tetap pergi ke Gold Coast kerana saya tidak mahu apabila tiba di sana nanti, saya tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan.

“Kecederaan ini mungkin mengganggu saya untuk membantu pasukan sepenuhnya kerana saya memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih. Sebab itu saya tidak mahu mengambil risiko ke Sukan Komanwel.

“Saya berharap rakan-rakan akan bermain dengan sehabis baik sebagai satu pasukan dan mengutip seberapa banyak pengalaman untuk dibawa ketika beraksi dalam Sukan Asia dan juga Piala Dunia nanti,” katanya.

Selain Marhan, The Malaysian Tigers juga terpaksa melupakan khidmat Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang turut mengalami kecederaan selain kecederaan lama yang dialami oleh Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin juga menyaksikan namanya tidak tersenarai ke Sukan Komanwel.

Dalam pada itu, Faiz Helmi Jali yang akan menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya tidak lama lagi memohon pelepasan daripada menyertai Sukan Komanwel kerana mahu memberikan tumpuan kepada semester akhirnya.

Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan B bersama England, India, Pakistan dan Wales, akan membuka tirai pada 6 April 2018 bertemu England pada jam 7.30 pagi waktu Malaysia sebelum turun bertemu Wales pada Sabtu (7 April) jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Berikut senarai 18 pemain bersama senarai menunggu untuk ke Gold Coast.
  1. Muhammad Hairi Bin Abd Rahman
  2. Muhammad Hafizuddin Bin Othman
  3. Mohamad Sukri Bin Abdul Mutalib
  4. Muhammad Razie Bin Abd Rahim
  5. Muhammad Najmi Farizal Bin Jazlan
  6. Syed Mohamad Syafiq Bin.Syed Cholan
  7. Muhammad Amirol Aideed Bin Mohd Arshad
  8. Mohd Fitri Bin Saari
  9. Nabil Fiqri Bin Mohd Noor
  10. Muhammad Azri Bin Hassan
  11. Joel Samuel Van Huizen
  12. Meor Muhamad Azuan Bin Hassan
  13. Tengku Ahmad Tajuddin Bin Tengku Abdul Jalil
  14. Faizal Bin Saari
  15. Muhamad Ramadan Bin Rosli
  16. Muhammad Shahril Bin Saabah
  17. Muhammad Firhan Bin Ashari
  18. Norsyafiq Bin Sumantri

Senarai menunggu:
  1. Muhammad Haziq Samsul
  2. Muhammad Najib Abu Hassan
  3. Mohd Ashran Hamsani
  4. Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran
  5. Muhammad Zaimi Mat Deris (GK)