Pasukan hoki negara berhasrat untuk menewaskan India dan England dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bagi memperbaiki ranking Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-12 dunia.

Skuad bimbingan jurulatih, Stephen Van Huizen, itu meletakkan sasaran awal untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir dalam temasya dari 4 hingga 15 April itu.

Van Huizen berkata selain diundi bersama-sama pasukan ranking keenam dunia India, dan England (ketujuh), Malaysia juga perlu berhati-hati dengan tentangan yang bakal diberikan oleh Pakistan (ke-13) dan Wales (ke-24).

“Sememangnya setiap kejohanan yang kita pergi, kita nak capai yang terbaik, mahu raih pingat. Kita memang menjangkakan Malaysia akan menerima cabaran sengit, namun kita akan cuba pastikan Malaysia beraksi dengan baik untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

“Sukan Komanwel penting buat pasukan negara sebagai pemanas badan sebelum memulakan aksi di Sukan Asia nanti. Jadi, kita perlu pamer prestasi baik dalam Sukan Komanwel, seterusnya menang dalam Sukan Asia untuk membolehkan Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti,” katanya dalam sidang media Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Mengikut ranking di peringkat Komanwel, Malaysia berada di kedudukan keenam, dengan Australia berada di kedudukan teratas, diikuti India, New Zealand, England dan Kanada.

Pemain hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, berkata Program Podium di bawah kendalian ISN banyak memberi pendedahan yang lebih spesifik dari segi sains sukan, di mana ia banyak membantu peningkatan prestasi pasukan negara.

Katanya, program tersebut juga membantu pasukan hoki untuk lebih berdaya saing dan mereka diberikan penekanan untuk memajukan pasukan setiap kali mengikuti latihan.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan hoki negara dalam Sukan Komanwel adalah apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada 1998 dengan meraih pingat perak manakala pada 2006 di Melbourne, Australia, pingat gangsa menjadi milik Malaysia apabila berjaya menundukkan England.

-- BERNAMA