Jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Muhammad Dhaarmaraj Abdullah, mempertaruhkan skuad yang beraksi dalam Piala Asia di Kakamigahara tahun lalu selain menyerap masuk dua muka baru untuk menggalas tugas dalam Sukan Komanwel Gold Coast, 4 hingga 15 April ini.

Malaysia, yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama India, Afrika Selatan, England dan Wales, mendapat kembali khidmat Fazilla Sylvester Silin serta membawa masuk Nur Amirah Shakirah Zulkifli bagi membantu skuad negara untuk memberikan tentangan kepada negara lain yang bertanding.

“Ini merupakan skuad 18 yang saya pilih dan saya rasakan terbaik kerana kami tidak mempunyai masa yang panjang untuk melakukan sesi pemilihan selepas tamatnya Liga Hoki Malaysia (Wanita) baru-baru ini.

“Kami kehilangan khidmat Fazilla ketika Piala Asia tahun lalu kerana dia terikat dengan latihan bomba dan kini dia kembali bersama kami untuk membantu memantapkan lagi pasukan di Gold Coast.

“Saya juga menyerap masuk Amirah yang telah bebas daripada masalah kesihatan, iaitu alahan yang dialami sebelum ini, dan dia telah menunjukkan prestasi yang baik ketika beraksi dalam siri perlawanan persahabatan menentang skuad bawah-21 Jepun dengan meledak dua gol,” ujar Dhaarma yang ditemui ketika sesi latihan skuad negara hari ini.

Malaysia akan memulakan aksi pertama menentang India pada jam 12.30 tengah hari waktu Malaysia pada Jumaat, 6 April 2018 sebelum turun pada 7 April 2018 jam 5.30 petang bertemu Afrika Selatan.

Berikut merupakan senarai 18 pemain yang akan ke Sukan Komanwel Gold Coast, Australia:

1. Farah Ayuni Bt Yahya
2. Mas Huzaimah Bt Md Aziz
3. Siti Noor Amarina Bt Ruhani
4. Juliani Bt Mohamad Din
5. Raja Norsharina Bt Raja Shabuddin
6. Siti Rahmah Bt Othman
7. Nuraini Bt Abd Rashid
8. Fazilla Binti Sylvester Silin
9. Surizan Bt Awang Noh
10. Norbaini Hashim
11. Wan Norfaiezah Bt Md Saiuti
12. Fatin Shafika Bt Md Shukri
13. Hanis Nadia Bt Onn
14. Nuraslinda Bt Said
15. Nur Syafiqah Bt Mohd Zain
16. Norazlin Bt Sumantri
17. Nurul Nabihah Bt Mansur
18. Nur Amirah Shakirah Bt Zulkifli