Gold Coast 2018: Amirul, Ramadan sedia balas kepercayaan 

Oleh Staff Writer 22 Mac 2018 2844
Gold Coast 2018: Amirul, Ramadan sedia balas kepercayaan 
Pertahanan hoki negara, Amirul Aideed Arshad, dan penyerang, Mohd Ramadan Rosli, berdepan tugas berat untuk membuktikan pemilihan dalam skuad Sukan Komanwel Gold Coast merupakan keputusan tepat kerana Malaysia diundi dalam kumpulan maut. 

Amirul dan Ramadan adalah antara 18 pemain yang akan mengibarkan cabaran dalam temasya Gold Coast 2018, dari 4 hingga 15 April ini. 

Mereka terlepas Piala Sultan Azlan Shah, dua minggu lalu ekoran kecederaan, namun berjaya meyakinkan pengendali negara, Stephen Van Huizen, untuk ke Gold Coast. 

Turut terpilih, ketua pasukan, Sukri Mutalib, yang sudah pulih daripada kecederaan hamstring. 

"Sangat penting, ini kali pertama saya akan berdepan pasukan Eropah. 

"Ini membolehkan saya mengukur tahap kebolehan sendiri untuk membantu saya meningkatkan permainan," kata Amirul yang akan berlepas bersama skuad negara ke Gold Coast, Isnin depan. 

Sementara itu, Ramadan berkata dia sudah 100 peratus bersedia ke temasya Gold Coast dengan berkata: "Sasaran utama saya adalah Piala Sultan Azlan Shah. 

"Akibat kecederaan pada saat-saat akhir, saya memutuskan untuk pulih sebelum kembali dalam Sukan Komanwel," kata Ramadan. 

Malaysia diundi bersama India, England, Pakistan dan Wales dalam Kumpulan B, dengan dua pasukan terbaik di peringkat kumpulan akan layak ke separuh akhir. 

Dalam sejarah Sukan Komanwel, Malaysia hanya dua kali meraih pingat, iaitu perak pada 1998 dan gangsa, 2006. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen