Bekas jurulatih skuad hoki wanita negara, Iman Gobinathan, teruja untuk membimbing pasukan Bangladesh dan bercadang untuk membawa beberapa tenaga tempatan menabur bakti bersamanya.

Gobinathan akan terbang ke Dhaka malam ini bagi menandatangani kontrak bersama Persekutuan Hoki Bangladesh (BHF) sebagai ketua jurulatih.

Ini merupakan kali kedua dia menabur bakti di sana selepas pernah bersama mereka pada 2015.

Namun, untuk kali ini, Gobinathan meletakkan syarat kepada BHF untuk membawa dua tenaga tempatan, penolong jurulatih TNB Thunderbolts, Nor Azlan Bakar, dan jurulatih Maybank, Shaiful Azli Rahman, sebagai pembantunya.

"Mereka mungkin hanya akan membenarkannya untuk jangka masa pendek, mungkin dalam kejohanan seperti Sukan Asia 2018. Saya mungkin memerlukan seorang atau dua pembantu dari Malaysia.

"Tenaga kerja semasa kejohanan terlalu tinggi," kata Gobinathan

Selain dilantik untuk memperbaiki kedudukan Bangladesh yang kini berada di ranking ke-30 dunia, dia juga dipertanggungjawabkan untuk mempersiapkan sebuah skuad yang mantap untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Untuk yang terdekat, tugasan pertama Gobinathan adalah membantu skuad remaja Bangladesh yang akan berentap dalam kelayakan Sukan Olimpik Remaja yang berlangsung di Bangkok, 25 April depan.

"Perkara utama, mereka ingin buat struktur hoki Bangladesh.

"Saya ingin mengadakan kursus di setiap negeri untuk menerangkan apa yang saya perlukan.

"Apabila mereka mempunyai struktur hoki yang betul, ia akan membawa manfaat jangka panjang kepada mereka," tambahnya.