Bekas kapten hoki negara, Azlan Misron, beranggapan kegagalan Malaysia membida hak penganjuran Piala Dunia Lelaki dan Wanita berpunca daripada kemarau penampilan dalam saingan Sukan Olimpik, dengan yang terbaru di Tokyo tahun depan.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memilih India sebagai penganjur Piala Dunia Lelaki 2023 sementara Belanda-Sepanyol tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2022.

Ia merupakan tamparan hebat bagi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang meletakkan harapan tinggi agar salah satu daripada bidaan itu berhasil.

Salah satu punca utama ialah kerana skuad lelaki gagal ke Sukan Olimpik sejak Sydney 2000 sementara skuad wanita tidak pernah menjejakkan kaki ke kedua-dua saingan.

"Saya tidak terkejut dengan keputusan yang dilakukan oleh FIH. Sebagai negara yang aktif dalam saingan hoki antarabangsa, pasukan lelaki dan wanita gagal berada di tahap terbaik dan ia merupakan antara faktor Malaysia gagal menganjurkan Piala Dunia," kata Azlan.

Ketua jurulatih hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, pula mempertikai tindakan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang seolah-olah melebihkan negara-negara Eropah dan India dalam hak penganjuran kejohanan antarabangsa.

Bagaimanapun, Dhaarma masih berharap KHM akan cuba meyakinkan badan induk dunia itu untuk satu lagi percubaan membida hak penganjuran, iaitu saingan Piala Dunia Remaja Wanita 2021.

"Saya berasa begitu kecewa terhadap bidaan itu.

"Kalau FIH benar-benar mahu membantu semua pasukan di dunia meningkat, maka pasukan hoki wanita kami memang patut dibantu kerana menunjukkan peningkatan.

"Saya harap sedikit sebanyak FIH serba sedikit boleh membantu pasukan negara menjadi salah satu pencabar dunia," katanya.