"Jangan terlalu hormat Argentina," itu komen pemain tengah skuad hoki negara, Fitri Saari, menjelang aksi persahabatan pertama menentang juara Sukan Olimpik 2016 itu di Buenos Aires, Argentina, esok.

Fitri adalah antara beberapa pemain negara yang tidak dapat menyertai siri perlawanan persahabatan di Argentina kerana mengalami kecederaan.

Perancang utama itu ditimpa kecederaan hamstring yang memaksanya berehat selama dua minggu.

Namun, Fitri percaya rakan sepasukan mampu mengisi kekosongan itu, terutama selepas Malaysia berjaya menewaskan Argentina 2-1 ketika peringkat round robin Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac lalu.

"Argentina adalah pasukan kedua dunia. Pun begitu, kami tidak boleh sangat hormati mereka kerana kami pernah menewaskan mereka dalam Piala Sultan Azlan Shah lalu.

"Kami perlu kekalkan momentum dan saya berharap rakan sepasukan mengekalkan prestasi yang bagus," katanya.

Selain Fitri, pemain lain yang cedera ialah pertahanan, Izad Hakimi Jamaluddin, dan penyerang, Mohd Ramadan Rosli.

Secara keseluruhan, skuad kendalian Stephen Van Huizen itu akan menghadapi enam aksi persahabatan menentang Argentina di Buenos Aires.

Malaysia kemudian akan menyertai program latihan dan aksi persahabatan di Perth, Australia, bulan depan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Indonesia pada Ogos.