Dua tonggak utama skuad hoki negara, Firhan Ashaari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, kini beralih mencari angin baru dalam saingan liga hoki tempatan selepas
sah mengikat kontrak setahun dengan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Firhan dan Tengku Ahmad Tajuddin sah menyertai pasukan TNB musim ini selepas berpindah daripada pasukan Terengganu Hockey Team (THT).

Kehadiran semula Firhan ibarat sirih pulang ke gagang kerana pernah berbakti dengan pasukan TNB pada musim 2012 hingga 2013 sebelum berpindah ke THT.

Ketajaman Tengku Ahmad Tajuddin di hadapan gawang pula ditagih TNB memandangkan dia muncul penjaring terbanyak tempatan dengan meledak 13 gol pada musim 2017.

"Pasukan akan meletakkan harapan kepada saya dan Tengku Ahmad Tajuddin untuk melakar kejayaan, sekaligus muncul juara dalam saingan musim 2018," kata Firhan.

"Penghijrahan saya adalah untuk mendapatkan pengalaman dan cabaran baru bersama TNB. Saya akan berusaha untuk membantu meningkatkan mutu permainan pemain-pemain muda dalam pasukan ini," kata Tengku Ahmad Tajuddin.

Perbezaan ketara ialah mereka kini dikelilingi tonggak tempatan berbanding ketika berada di THT apabila pemain import membantu memainkan peranan dalam memacu kejayaan pasukan.

TNB bakal membuat perhitungan dengan Maybank dalam pusingan pertama Piala Tan Sri P. Alagendra.