Penyerang berbisa Terengganu Hockey Team (THT), Firhan Ashaari, muncul pemain terbaru bakal meninggalkan pasukan gergasi itu apabila sedang mempertimbangkan tawaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM), bulan depan.

Trio penggempur THT sudah berpecah. Selepas Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil menyertai TNB, kini giliran Firhan mengikut jejak langkah sama.

Sebelum ini, mereka bersama Faizal Saari membentuk jentera serangan paling berbisa dalam LHM hingga THT muncul juara Piala TNB dan Piala Tan Sri P. Alagendra.

"TNB berkemungkinan menjadi destinasi seterusnya tetapi saya masih belum lagi menandatangani sebarang kontrak bersama mereka," kata Firhan.

"TNB merupakan pasukan yang berpengalaman dan barisan pemain yang berkualiti mampu mencabar kejuaraan."

THT berjaya memancing empat bintang Argentina yang diketuai pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat.

Situasi itu meningkatkan persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama, sekali gus memaksa pemain tempatan mencari pasukan lain.

Faizal juga dikatakan sudah menghubungi beberapa pasukan dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.