Final Siri Hoki Dunia: Sukri, Kumar diharap sempat pulih 

Oleh Staff Writer 17 April 2019 466
 Final Siri Hoki Dunia: Sukri, Kumar diharap sempat pulih 
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berharap kelibat tunjang utama seperti ketua pasukan, Sukri Mutalib, dan penjaga gol, S. Kumar, sempat pulih dan berada dalam senarai skuad negara yang akan diumumkan Jumaat ini. 

Skuad negara akan mengharungi kempen Pusingan Akhir Siri Hoki Dunia 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil apabila ditempatkan dalam Kumpulan B bersama-sama Brazil, China dan Itali, bermula 26 April ini. 

Meskipun berita sebelum ini mengetengahkan situasi hampir pasti bahawa kedua-dua pemain tersebut tidak sempat untuk pulih daripada kecederaan, Subahan masih mengharapkan keajaiban berlaku.

Hakikatnya, hasrat untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 begitu besar dan kelibat mereka kekal menjadi watak penting yang boleh mempengaruhi pasukan.

"Seperti yang kita tahu, skuad negara berdepan masalah kecederaan yang kami harapkan tidak berlaku. 

"Jurulatih, Roelant Oltmans, akan mengumumkan barisan negara Jumaat tetapi ada sesetengah tonggak, khidmatnya amat diperlukan, misalnya Sukri. 

"Dia adalah ketua pasukan dan dia dibelenggu kecederaan dan nasibnya akan ditentukan Oltmans kelak," kata Subahan. 

Kesungguhan KHM dibuktikan dengan kelibat dua pakar pukulan sudut penalti dan penjaga gol, Takae Takaema dan Martijn Drijver, dalam persiapan akhir skuad negara tetapi mereka tidak akan terlibat dalam soal pemilihan pemain.
 
"Mereka akan kekal di sini sehingga kempen Final Siri Hoki Dunia berakhir untuk memberikan pandangan tetapi daripada segi percaturan, segalanya terpulang kepada Oltmans," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen