Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans, percaya penjaga gol simpanan, Hairi Abd Rahman dan Zaimi Mat Deris, memiliki kualiti setaraf S. Kumar yang terpaksa digugurkan daripada pusingan akhir Siri Hoki Dunia 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, bermula 26 April ini ekoran kecederaan hamstring.

Hairi memiliki pengalaman untuk beraksi sebagai penjaga gol utama ketika Malaysia meraih tangga ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 di Ipoh, Perak, bulan lalu sementara Zaimi semakin mencipta nama.

Selain itu, Malaysia juga memiliki seorang lagi pilihan berkaliber, Mohd Hafizuddin Othman.

"Ketika PSAS, Hairi mengharungi kempen dengan baik.

"Sudah tentu adalah lebih baik sekiranya khidmat Kumar boleh menjadi sandaran tetapi secara jujurnya, saya sudah menjangkakan situasi ini.

"Lantas, kami membuat persediaan dengan mengetengahkan Hairi, Zaimi dan Hafizzudin," ujar Oltmans.

Kumar terpaksa diketepikan ekoran gagal pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami ketika mengharungi Liga Hoki Malaysia (LHM).

Ini kali kedua penjaga gol berusia 40 tahun itu terlepas kejohanan antarabangsa 2019 selepas PSAS.

"Sudah tentu saya berasa kecewa kerana tidak sempat pulih.

"Namun, saya akan meneruskan proses pemulihan bagi kejohanan akan datang.

"Hairi dan penjaga gol yang lain memiliki potensi untuk aksi di peringkat antarabangsa selain akan berikan aksi terbaik untuk kempen Final Siri Hoki Dunia kali ini," kata Kumar.