Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kecewa dengan tindakan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membatalkan penggunaan sistem video rujukan pengadil dalam Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki Dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bermula 24 April ini.

Ia satu keputusan yang mengejutkan memandangkan badan induk hoki dunia itu sebelum ini konsisten terhadap penggunaan teknologi berkenaan dalam kejohanan besar seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia, apatah lagi kempen Final Siri Hoki Dunia itu juga menawarkan tempat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia, bagaimanapun, sudah bersiap untuk mengetengahkan teknologi itu sejak Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak, bulan lalu.

Justeru, pemain negara sudah bersedia dengan sistem video rujukan itu kerana ia banyak menyumbang kepada keputusan The Malaysian Hockey Tigers untuk mendapat pukulan sudut penalti mahupun gol.

Puncanya, salah satu daripada venue Final Siri Hoki Dunia, sama ada di Perancis atau India, tidak dapat menyediakan sistem video rujukan.

Justeru, KHM berhasrat untuk membuat bantahan kerana ia boleh menjejaskan tumpuan pemain negara selain menyempitkan peluang negara kerana teknologi berkenaan antara senjata skuad kebangsaan dalam mendapatkan keputusan positif.

"KHM cukup berpuas hati dengan keadaan Stadium Nasional.

"Pada mulanya, kami membuat aduan tentang keadaan padang dan Stadium Nasional dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negeri (MSN), termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, telah mengambil tindakan segera.

"Alhamdulillah, apabila kami membuat tinjauan hari ini, kami berpuas hati dengan keadaan stadium.

"Mungkin terdapat sedikit masalah lagi tetapi kami akan bekerjasama dengan PSM untuk memastikan segalanya dalam keadaan terbaik," ujar Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.