Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menganggap Kejohanan Final Siri Dunia sebagai peluang terakhir buat anak buahnya memasang impian beraksi di pentas Olimpik dengan syarat perlu memastikan dua slot terbaik di Ireland, Jun tahun depan.

Ia tampak sukar dengan Malaysia perlu mengatasi dua pasukan yang berada di ranking lebih baik, iaitu tuan tumah, Ireland, di samping Korea Selatan.

Namun, perbezaan permainan di antara anak buahnya dan dua pasukan itu tidak begitu jauh dan jika bijak mengambil kesempatan, tidak mustahil Malaysia mampu menghuni dua kedudukan terbaik untuk melengkapi 14 pasukan yang akan berentap mencari tujuh slot ke temasya Olimpik Tokyo 2020 pada November tahun depan.

"Jepun, India dan China sememangnya berada dalam kelas yang berlainan, namun Korea Selatan kini sedang mula mengalami penurunan prestasi.

"Kami sepatutnya memanfaatkan perkata itu untuk memburu tempat ke kelayakan Olimpik Tokyo 2020," kata Dhaarma.

Ketika ini, Kejohanan Final Siri Dunia adalah keutamaan skuad kebangsaan.

Berbaki lapan bulan lagi, Dhaarma mengharapkan Malaysian Tigress mampu berwajah baru.

Memasuki tahun keempat bersama skuad hoki wanita negara, pengendali itu mengharapkan pentas Olimpik mampu menjadi jawapan kepada keberkesanan sentuhannya.

"Kebiasaannya pasukan kami akan gugup berdepan pasukan daripada Eropah.

"Dengan kehadiran pemain-pemain yang sedang beraksi di Eropah ketika ini, sudah pasti ia akan membantu pasukan," katanya lagi.