Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans, diletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk sekurang-kurangnya membawa pasukan kebangsaan layak ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah yang akan berlangsung April depan.

Itu persetujuan yang dibuat bersama dalam satu mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan membabitkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang diketuai presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, semalam.

Sebelum ini, pengendali itu gagal membawa Malaysia ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun dia masih mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini dan bagi Subahan, Oltmans tetap bertanggungjawab mengendalikan skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan musim 2020.

"Buat masa sekarang, saya fikir kami mendengar semua perancangannya kerana dia memiliki visi yang jelas. Namun, jawatankuasa kejurulatihan sebulat suara Oltmans perlu mencapai KPI," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subahan turut mengesahkan ada perkhabaran positif mengenai kerjasama di antara pasukan Belanda dan skuad negara dalam masa terdekat.

"Saya sendiri telah berjumpa pengarah teknikal dan ketua jurulatih Belanda. Mereka sebenarnya dari Argentina, kami telah berbincang beberapa perkara. Mereka sedia untuk membantu, jadi saya fikir kami harus gunakan kesempatan itu."



Editor: Nafis Abdullah