Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyifatkan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) sebagai kejohanan jemputan paling lama di dunia.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berharap prestij kejohanan itu dipertahan dan dipertingkatkan dengan peminat membanjiri Stadium Azlan Shah sepanjang kejohanan edisi ke-28 itu yang akan berlangsung selama lapan hari bermula Sabtu ini.

"PSAS ini sudah berlangsung sebanyak 27 kali dan kali ini memasuki edisi ke-28.

"Ia sudah menjadi satu kejohanan jemputan berprestij dan meletakkan nama hoki Malaysia dan negeri Perak di persada antarabangsa.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran kejohanan ini," katanya dalam sidang akhbar pelancaran kejohanan itu di sebuah hotel terkemuka di Ipoh, petang tadi.

Ahmad Faizal juga berkata kejohanan kali ini akan lebih bermakna jika skuad hoki negara melakukan penampilan dalam perlawanan akhir.

"Malaysia belum pernah menjuarai kejohanan ini sepanjang 27 edisi lalu.

"Kali ini tanpa Australia, New Zealand serta gergasi hoki dunia yang lain, jadi peluang Malaysia meraih gelaran adalah cerah," katanya.

Sebanyak enam pasukan, iaitu India, Korea Selatan, Kanada, Poland dan Jepun serta tuan rumah, Malaysia, menyertai kejohanan kali ini.

Kejohanan edisi ke-28 itu menjadi gelanggang pemanas badan buat skuad hoki kebangsaan menjelang Kejohanan Siri Hoki Akhir 2019 di Kuala Lumpur dari 26 April hingga 4 Mei depan.

Juara dan naib juara Siri Hoki Akhir 2019 akan melayakkan diri ke saingan Kelayakan Sukan Olimpik 2020.