Pengurus Pertandingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Brian Fernandez, mengesahkan empat pasukan sudah menukar gelanggang pertandingan, termasuk juara Piala Tan Sri P. Alagendra, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kesemua empat pasukan terbabit sudah menghantar permohonan untuk mengadakan perlawanan di stadium baru ekoran masalah padang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Dengan itu, TNB dan TNB Thunderbolts akan menggunakan Stadium Hoki Tun Razak, Maybank (Stadium Hoki Tengku Abdullah) sementara Nur Insafi (Stadium Hoki Kuala Lumpur).

Pertukaran venue akan berkuatkuasa pada 1 Februari depan, iaitu selepas stadium di Bukit Jalil ditutup untuk proses menukar padang.

"Malangnya kebanyakan pasukan yang beraksi (dalam kancah Liga Hoki Malaysia) adalah berpangkalan di Lembah Klang kecuali Nur Insafi.

"Saya mengharapkan lebih banyak penglibatan pasukan dari luar Lembah Klang, misalnya dari Negeri Sembilan, pada musim depan.

"Kami juga sudah pun menghantar jadual perlawanan yang baru kepada stadium baru yang terlibat," katanya.

Ini bermakna tiga pasukan akan kekal dengan venue mereka, iaitu Terengganu Hockey Team, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Cuma KHM akan meninjau keadaan padang di Stadium Hoki UiTM, Shah Alam, esok selepas kerja-kerja menaik taraf dilakukan.

"Kami akan berpindah ke Stadium Hoki Tun Razak yang mempunyai kemudahan yang sesuai dijadikan venue pertandingan.

"Pemain TNB juga selesa bermain di sana selain berlatih bersama pasukan kebangsaan di situ," jelas pengurus TNB, Mohd Azammi Adabi.

Pertahanan hoki TNB Thunderbolts, Aminuddin Mohd Zain, pula berpandangan: "Kami mempunyai sedikit kelebihan dan tuah jika bermain di Stadium Hoki Tun Razak.

"Insya-Allah jika ada rezeki, kami akan mencapai kejayaan di sini."