Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, menyifatkan peluang terbaik Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah dengan meraih pingat emas Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Ia susulan tindakan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengubah sistem kelayakan yang menyukarkan laluan Malaysia.

FIH memperkenalkan format siri hoki menggantikan Siri Dunia selaku kelayakan ke Olimpik Tokyo.

Malaysia akan menyertai salah satu daripada tiga siri final di mana setiap finalis akan bertanding kejohanan kelayakan Olimpik bersama pasukan liga profesional.

Enam pasukan terbaik kejohanan kelayakan akan layak ke Tokyo bersama tuan rumah, Jepun, dan lima juara benua.

Peluang terbaik Malaysia ialah meraih pingat emas Sukan Asia Indonesia atau terpaksa melalui cabaran sukar.

"Kelayakan ke Tokyo 2020 semakin sukar dengan FIH mengambil saingan Siri Dunia saingan kelayakan dan Sukan Asia menjadi jalan terbaik buat Malaysia," kata Kumar.

"Tiada pilihan selain memenangi pingat emas dalam Sukan Asia kerana FIH merumitkan saingan kelayakan kerana Malaysia tidak berada dalam liga profesional," kata pemain negara, Faiz Helmi Jali.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk layak dengan meraih emas dalam Sukan Asia nanti," kata pengendali pasukan, Stephen Van Huizen.