Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menarik diri daripada merebut jawatan naib presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) manakala Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, akan bertanding untuk kerusi presiden persatuan berkenaan, Sabtu depan.

Dhaarma antara 11 calon naib presiden KLHA menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan berkenaan.

Beliau merupakan satu-satunya pengendali kebangsaan yang dicalonkan.

Jurulatih yang sedang bercuti selepas membantu skuad wanita negara meraih tempat ketiga Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Ireland minggu lalu itu terkejut dengan pencalonannya dan terpaksa mengambil keputusan drastik untuk menarik diri.

"Kalau majikan saya memberikan kebenaran untuk menyertai KLHA, saya akan memberikan kata putus," katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak menetapkan sebarang garis panduan buat pengendali negara untuk aktif dalam mana-mana persatuan.

Sebagai rekod, penolong jurulatih skuad lelaki negara, Stephen Van Huizen, kini memegang jawatan naib presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA).

Dalam perebutan jawatan presiden KLHA pula, kehadiran Megat Shahriman untuk mencabar penyandang jawatan, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, menarik tumpuan ramai kerana dia turut akan bertanding dalam AGM Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Sabtu depan.