Dhaarma sedia senaraikan penyerang muda

Oleh Staff Writer 14 Mei 2019 2417
Dhaarma sedia senaraikan penyerang muda
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, sedia mengambil risiko untuk menyenaraikan seorang pemain muda tidak berpengalaman, Siti Zulaikha Husin, untuk menjadi sebahagian daripada 20 pemain yang akan mengibarkan cabaran dalam Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki Dunia di Bandbridge, Ireland, bulan depan.

Dhaarma sudah pun mempunyai 20 pemain yang akan dibawa menjalani Jelajah Eropah bermula 25 Mei ini sebelum terbang ke Bandbridge untuk mencari slot ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, dalam beberapa aksi persahabatan di ibu negara, Dhaarma masih memberi peluang untuk menguji beberapa pemain dan Zulaikha yang beraksi sebagai penyerang berjaya menambat hatinya.

Ia sekali gus mencetus dilema untuk membawa masuk pemain itu pada saat-saat akhir kerana dalam masa yang sama, Dhaarma perlu mengambil keputusan untuk menggugurkan seorang pemain.

"Persembahan Zulaikha dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sangat mengagumkan, dia mempamerkan kualiti ketika melakukan serangan," katanya.

"Saya rasa sangat berbaloi kerana telah berusaha untuk mencapai tahap ini. Setakat ini, terdapat beberapa penyerang untuk dipilih ke dalam skuad negara," kata Zulaikha.

Zulaikha tidak pernah beraksi dalam mana-mana kejohanan utama kecuali diberikan peluang ketika sesi persahabatan menentang India tempoh hari.

Dalam masa sama, Dhaarma juga akan memendekkan senarai perlawanan persahabatan bersama Angkatan Tentera Malaysia daripada 25 kepada 22 perlawanan sahaja kerana kesuntukan masa.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen