Perubahan dalam senarai nama 18 pemain yang telah pun dihantar oleh ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, bagi Siri Hoki Dunia 2018 di Singapura hanya akan bergantung kepada tahap kecergasan mereka sebelum dimuktamadkan secara rasmi.

Lapan belas pemain sudah pun dikenal pasti Dhaarma, namun tidak boleh mendedahkan senarai nama berkenaan sehingga minggu depan.

Dhaarmaraj tidak menolak telah berpuas hati dengan 18 pemain yang disenaraikan itu dan tidak banyak perubahan akan berlaku sekiranya mereka mampu mengekalkan tahap kecergasan sebaik-baiknya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemain-pemain yang telah dipilih ini tidak semestinya akan kekal dalam skuad bagi Sukan Asia Jakarta di mana perubahan besar pasti berlaku.

"Sukan Asia itu adalah sasaran utama kami, di mana kami mempunyai beberapa pemain senior seperti Hazlina Ali yang kembali daripada bersalin.

"Mungkin juga ada daripada mereka tidak diberikan peluang beraksi di Singapura tetapi mungkin mereka akan disenaraikan dalam Sukan Asia nanti. Itu (Sukan Asia) sasaran utama kami untuk tahun ini," katanya.

Dhaarma menjangkakan pasukannya akan berdepan lebih banyak pukulan sudut penalti di Singapura nanti dan itu yang menjadi keutamaannya kepada pemain dalam minggu ketiga latihan dalam bulan Ramadan ini.

"Kami fokus kepada pukulan sudut penalti walaupun kami tidak banyak memiliki peluang itu, terutama berdepan pasukan besar.

"Tetapi di Singapura, kami akan mendapat banyak pukulan sudut penalti. Saya jangkakan pemain-pemain dapat menyudahkan peluang daripada pukulan itu," katanya lagi.