Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, berharap tonggak pertahanan pasukannya, Raja Norsharina Raja Shahabuddin, sempat pulih daripada kecederaan menjelang Kejohanan Final Siri Hoki Dunia di Ireland, Jun depan.

Selain Raja Norsharina, dua lagi pemain negara masih belum melaporkan diri dalam kem latihan pusat di padang hoki Majlis Sukan Negara (MSN), iaitu penjaga gol, Farah Ayuni Yahya -- beraksi dalam Liga Hoki Perdana England -- dan pemain tengah, Hasliza Ali, yang belum mendapat pelepasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, Dhaarma yakin dia akan dapat meneruskan latihan dengan kehadiran Farah Ayuni dan Hasliza, minggu depan, sekali gus menurunkan mereka dalam aksi persahabatan dengan India, bulan depan.

"Raja Norsharina masih cedera dan Hasliza akan menyertai kami esok selepas mendapat pelepasan daripada PDRM.

"Ayuni pula akan pulang ke tanah air Sabtu ini," katanya.

Dhaarma mengumpulkan seramai 24 pemain dan bakal menguji setiap seorang daripada mereka dalam lima aksi persahabatan menentang India (dua pertemuan), Sepanyol, Itali dan Scotland bulan depan sebelum memilih 18 pemain terbaik.

Walaupun mengakui sudah kesuntukan masa, Dhaarma tetap optimis untuk mampu membentuk skuad ampuh sepanjang tahun ini.

"Selepas lima perlawanan persahabatan itu, kami akan mendapat gambaran mengenai skuad terbaik.

"Bagaimanapun, ia masih belum dapat diumumkan sehingga penghujung Mei ini," tambahnya.