Bekas penjaga gol skuad hoki negara, Ahmad Fadzil Zainal Abidin, merindui rakan seperjuangan dalam skuad kebangsaan ketika dia memerlukan dana RM40,000 bagi menjalani pembedahan jantung, Julai depan.

Ahmad Fadzil, yang mencapai zaman kemuncak era 80-an, pernah menyertai Sukan Olimpik 1984 Los Angeles dan Barcelona 1992.

Dia disahkan mengalami masalah jantung dan dijadual menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Bekas penjaga gol kelahiran Perak itu turut berharap dapat bertemu rakan seperjuangannya sebelum menjalani pembedahan itu.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan-rakan hoki yang pernah bermain dengan saya dari 1978 hingga 1993 yang tidak putus-putus memberi dorongan, sokongan dan doa untuk saya terus bertahan," katanya.

Kes itu turut mendapat perhatian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan mereka sedia membantu menyediakan sebahagian daripada kos pembedahan.

"Kami menyediakan beberapa pilihan kepada Fadzil, antaranya mendapatkan rawatan di hospital milik kerajaan, Hospital Serdang dan HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), di mana kosnya mungkin boleh dikurangkan.

"Selain itu, kami telah berhubung dengan pihak IJN, bagi meminta mereka menilai semula kos sebanyak RM40,000 itu berdasarkan kemampuan," kata Pengurus Besar Yakeb, Zuhairi Abdul Manaf.