Bekas pemain hoki negara, Zulkifli Abbas dan M. Surendran, melahirkan kegusaran sambil mempersoalkan usaha apa lagi yang mampu dikerah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, bagi memastikan Malaysia tidak lagi menggigit jari untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Subahan secara tidak rasmi bakal memegang tampuk presiden selama satu penggal lagi setelah pencabar, Datuk Kamaruddin Meranun, hilang kelayakan untuk bertanding.

Begitu juga Timbalan Presiden, Profesor Datuk Dr S. Shamala, dijangka akan mengekalkan kerusi itu setelah lawannya, K. Maheswari, turut mengumumkan akan menarik diri.

Namun, buat bekas pemain, kerisauan mereka adalah terhadap perancangan baru yang bakal direncanakan muka sama selepas KHM melaburkan jutaan ringgit tetapi masih belum dapat memastikan skuad negara mengakhiri kemarau ke Sukan Olimpik.

"Malaysia tidak layak bertanding dalam Sukan Olimpik 2020.

"Jadi, bagi empat tahun akan datang, kami mengharapkan satu perubahan yang drastik. Ia hanya boleh berlaku jika ada sumber kewangan yang kukuh," bekas pemain negara 1984, Zulkifli, di Bukit Jalil hari ini.

Apatah lagi, sejak Subahan memegang tampuk presiden pada 2015, tiga jurulatih luar sudah pun dipanggil untuk membimbing The Malaysian Hockey Tigers, termasuk Roelant Oltmans di samping menggunakan khidmat beberapa pakar untuk penambahbaikan.

Justeru, cabaran makin tinggi buatnya dan barisan exco bagi memastikan Malaysia mampu layak ke Sukan Olimpik 2024.

"Sukar untuk mengulasnya.

"Apa yang berlaku dalam kancah hoki ketika ini sudah tepu. Mereka tidak beraksi baik dan gagal layak ke Sukan Olimpik 2020.

"Saya berpendapat KHM seharusnya mendapatkan orang baru, ia satu tindakan yang lebih baik," kata rakan seangkatan Zulkifli, Surendran.