Bekas kapten skuad hoki negara, Azlan Misron, mengingatkan pemain-pemain agar tidak lupa diri selepas mencipta sejarah muncul naib juara Piala Asia 2017, sebaliknya mengekalkan fokus dalam persiapan menghadapi tugas getir dalam Sukan Asia tahun depan yang menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azlan, yang mengetuai Malaysia ketika meraih tempat ketiga Pdalam iala Asia 10 tahun lalu, bangga apabila rekod itu dipecahkan di Dhaka, Bangladesh, selepas skuad negara tewas 1-2 di tangan India dalam aksi final, sekaligus muncul pencapaian terbaik dalam sejarah hoki negara.

Bagaimanapun, dia tidak mahu kejayaan itu melekakan anak-anak buah Stephen Van Huizen dan berharap mereka kekal fokus dalam merebut tiket ke Tokyo 2020.

“Rekod telah menjadi sejarah dan apa yang lebih penting, mereka perlu fokus untuk kejohanan-kejohanan akan datang kerana tahun depan mereka menghadapi banyak acara penting seperti Sukan Asia dalam usaha untuk mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik.

“Untuk semua pemain, terus kekal dengan objektif walaupun hasrat ke Piala Dunia telah tercapai. Pastikan impian untuk ke Sukan Olimpik 2020 berjaya dicapai,” kata Azlan.

Dia juga mengingatkan pemain-pemain agar tidak mengejar imbuhan atas pencapaian di Dhaka walaupun melalui musim cemerlang apabila layak ke Piala Dunia, meraih pingat emas Sukan SEA 2017 dan muncul naib juara Piala Asia.

“Ganjaran bukan satu keutamaan kerana tujuan utama adalah berjuang untuk negara. Letakkan objektif pasukan lebih utama berbanding ganjaran,” katanya lagi.