Pemain skuad hoki remaja negara, Muhammad Amirul Hamizan Azhar, tidak mahu sekadar memenuhi jadual dalam saingan Sukan Olimpik Remaja, sebaliknya menganggap kemunculan kali pertama Malaysia dalam temasya itu adalah untuk memberikan cabaran.

Kecemerlangan yang dicipta dalam Kelayakan Olimpik Remaja perlu berterusan sehingga ke Argentina pada Oktober depan dan selaku pencabar, Amirul tidak rela Malaysia sekadar melakukan penampilan untuk mencari pengalaman.

Dia juga menegaskan dengan kecemerlangan yang dibawa bersama, Malaysia tidak boleh bermain dengan kekuatan yang sama, malah kelemahan dalam aksi kelayakan perlu diperbaiki segera.

"Ketika saingan di Thailand baru-baru ini, ia berbekalkan semangat kami. Boleh dikatakan semua perlawanan kami agak menurun tetapi disebabkan semangat, kami dapat memenangi aksi di sana," katanya.

Sementara itu, wakil wanita, Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun, mengakui kecewa dengan kegagalan skuad wanita tetapi ia sedikit terubat apabila namanya menjadi pilihan ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Dia kini berada dalam perancangan Dhaarma menjelang Trofi Juara-Juara Asia 2018 di Korea Selatan.

"Saya berbangga kerana mungkin prestasi yang dipamerkan telah membuka mata jurulatih untuk menyenaraikan nama saya.

"Sebelum ini, saya sudah melakukan yang terbaik dan ia akan diteruskan," ujar Asfarina.