Di sebalik persembahan bertenaga The Malaysian Hockey Tigers yang berentap dengan Argentina dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam, ia turut diselubungi "aksi panas" membabitkan kedua-dua pasukan.

Semuanya bermula apabila Malaysia menjaringkan gol penyamaan menerusi Nik Aiman Nik Rozemi pada minit ke-31, namun dibantah Argentina kerana mendakwa Nik Aiman tidak menyentuh bola. Sebelum itu, Argentina telah pun meledak jaringan menerusi Lucas Vila pada minit ke-19.

Situasi kemudian bertambah tegang apabila pemain Argentina, Juan Lopez, melakukan kekasaran terhadap Nik Aiman hingga menyaksikan kedua-dua pasukan bertelagah.

"Saya tidak pasti mengenai apa yang berlaku tetapi ia tidak bermakna mereka boleh melakukan kekasaran ke atas pemain negara," kata pengendali skuad negara, Stephen van Huizen.

"Apa yang berlaku di atas padang, tinggal di atas padang," kata kapten Argentina, Pedro Ibarra.

Aksi tegang berjaya diredakan dan Argentina menambah dua lagi jaringan menerusi Gonzalo Peillat dan Vila manakala Azri Hassan merapatkan kedudukan buat Malaysia pada minit ke-60.

Di sebalik insiden kurang menyenangkan itu, Van Huizen berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang mampu memberikan saingan terhadap pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 itu dalam persediaan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS 2018), minggu depan.

"Berdepan pasukan berkualiti, setiap saat amat penting. Saya amat berpuas hati dengan persembahan pasukan dan berharap mereka dapat meningkatkan mutu permainan dalam aksi akan datang," tambahnya.