Pengendali skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, mahu anak buahnya tetap memberi tumpuan dalam saingan menentang TNB Thunderbolts, Jumaat ini, walaupun sudah bergelar juara Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019.

Arul menganggap baki saingan menentang TNB Thunderbolts sebagai langkah persiapan UniKL untuk mempertahankan gelaran juara Piala TNB 2019.

Dalam perlawanan terakhir itu, Arul mahu merehatkan barisan pemain utama yang mengalami kecederaan ringan supaya mereka mampu menonjolkan prestasi terbaik bagi saingan seterusnya.

Selepas sembilan tahun, akhirnya UniKL berjaya merangkul gelaran juara LHM dan Arul optimis pasukan kendaliannya itu juga mampu menjulang Piala TNB musim ini.

"Sudah tentu kami akan turun seperti biasa dan kami akan gunakan perlawanan itu sebagai persiapan untuk ke separuh akhir. Mungkin mana-mana pemain yang perlu berehat akan diberikan ruang tetapi buat masa ini, saya hanya mahu menikmati detik ini," katanya.

Sementara itu, pemain UniKL, Robert Huib Kemperman, tidak sabar untuk berdepan TNB Thunderbolts dan tidak mahu mengambil mudah cabaran pasukan itu.

"Kami masih belum selesai. Kami boleh menikmati kejayaan ini tetapi sasaran kami adalah menjulang Piala TNB. Jadi, pemain perlu terus fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya," kata Kemperman.