Pertahanan negara, Sukri Mutalib, tidak menyangka masih diberi kepercayaan memakai lilitan kapten walaupun sudah empat bulan tidak menyarung jersi The Malaysian Hockey Tigers.

Sukri kembali dalam skuad kendalian Roelant Oltmans itu bagi menghadapi saingan Kejohanan Akhir Siri Hoki FIH yang bermula Jumaat ini.

Walaupun terlepas beraksi bersama skuad negara selama empat bulan, Oltmans tetap meletakkan kepercayaan kepada pemain berusia 33 tahun itu untuk bertindak sebagai salah seorang daripada lima kapten pasukan.

"Kembali mengetuai Malaysia sesuatu yang membanggakan saya tetapi kami akan meneruskan pendekatan yang dilakukan ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah," kata Sukri.

"Ia memastikan lima kapten yang dipilih Oltmans ini mempamerkan permainan yang lebih matang untuk memimpin pasukan," katanya.

Sukri terlepas saingan bersama skuad negara ekoran kecederaan patah jari ketika beraksi dalam Liga Hoki Malaysia bersama UniKL dan kini pulih sepenuhnya.

Mengakui menggunakan sarung tangan bagi melindungi jari yang mengalami kecederaan menambahkan keyakinannya untuk beraksi seperti biasa.

"Saya akan memakai sarung tangan bagi memberikan keselamatan terhadap bahagian yang mengalami kecederaan dan ia sekali gus meningkatkan tahap keyakinan di atas padang," ujarnya.