Pengarah Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH, Richard Akpokavie, menganggap Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil antara yang terbaik di dunia selepas berpuas hati dengan kemudahan venue kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

Dalam lawatan hari ini, Akpokavie dan beberapa pegawai Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) berpuas hati dengan keadaan padang dan kemudahan lain di Stadium Hoki Nasional dengan kempen akan bermula esok.

Stadium yang siap dibina pada 1998 itu memiliki kapasiti 12,000 tempat duduk dan pernah menganjurkan Piala Dunia 2002 serta Sukan Komanwel 1998.

Apa yang menarik, padang dalam keadaan baik walaupun baru siap ditukar bulan lalu.

"Tidak banyak negara yang memiliki stadium seperti ini yang bagaikan stadium bola sepak.

"Bagi kancah hoki, ini adalah salah satu gelanggang terbaik di dunia.

"Stadium ini besar, tidak seperti kebanyakan stadium.

"Stadium Hoki Nasional sangat mengagumkan," kata Akpokavie.

Reka bentuk Stadium Hoki Nasional unik kerana dikelilingi tempat duduk selain berbumbung.

Ini kerana kebanyakan stadium hoki di Eropah, khususnya, hanya memiliki separuh tempat duduk.

Lantaran itu, ia umpama stadium bola sepak yang dijadikan gelanggang hoki.

"Padang, kemudahan dan kesemuanya sudah bersedia.

"Sudah tentu kita akan melihat satu pertandingan yang bagus. Kita hanya menunggu kejohanan ini bermula," ujarnya lagi.