Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans, belum berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang lambat panas ketika membelasah Brazil 6-0 dalam aksi sulung Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019.

Kebimbangan wujud dalam aksi separuh masa pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi apabila pemain negara melepaskan deretan peluang.

Malaysia terpaksa menunggu selepas rehat untuk memulakan pesta jaringan dan situasi itu perlu diperbaiki jika mereka mahu mencapai sasaran muncul juara kejohanan ini.

Masalah lambat panas pernah menghantui skuad negara dan ia antara punca kegagalan layak ke Sukan Olimpik sejak 2000.

Gol Malaysia dijaringkan Norsyafiq Sumantri, Najmi Farizal Jazlan, Fitri Saari, Meor Azuan Hassan, Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Razie Abd Rahim.

Ia merupakan kemenangan terbesar pada hari pertama kempen, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pendahulu Kumpulan B.

"Kepantasan permainan kami sukar dikekang Brazil dalam separuh masa pertama dan sebaik kami mula menyumbat gol, perlawanan ini bertukar menjadi aksi hoki seperti yang kami mahukan.

"Daripada segi bertahan, saya tidaklah berpuas hati sehingga 100 peratus atas kesilapan kecil yang dilakukan.

"Tetapi kami dapat menjaringkan gol tanpa dibolosi," kata Oltmans.

Tambah Najmi: "Ini gol sulung saya dalam kejohanan kedua yang membabitkan saya.

"Kalau berpeluang lagi, saya akan berikan sepenuhnya (aksi terbaik)."

Sementara itu, ketua pasukan Brazil, Andre Patrocinio, menyimpulkan kekalahan berat itu sama sekali tidak akan mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan.

"Kami hilang rentak dalam perlawanan ini.

"Ia menjadi satu masalah besar untuk menentang lawan seperti Malaysia tetapi ini baru perlawanan pertama dan kami masih berpeluang untuk mencapai sasaran," katanya.