Program latihan pukulan sudut penalti seliaan pengendali kelahiran Belanda, Taeke Takema, sudah mula membuahkan hasil selepas skuad hoki negara menewaskan Wales 2-0 dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil, malam tadi.

Ia sebagai persiapan terbaik menjelang Kejohanan Final Siri Hoki Dunia bermula Jumaat ini.

Pakar pukulan sudut penalti negara seperti Razie Abdul Rahim, Faizal Saari, Shahril Saabah, Najmi Farizal Jazlan dan Syed Syafiq Syed Cholan kini semakin serasi untuk menyempurnakan gerakan itu dengan satu daripada tiga pukulan sudut penalti mereka menemui sasaran malam tadi.

Ia bermakna sasaran ketua jurulatih, Roelant Oltmans, untuk 33.34 peratus kejayaan daripada gerakan itu sudah menjadi kenyataan.

Malaysia akan berdepan Brazil dalam perlawanan pembukaan Final Siri Hoki Dunia, Jumaat ini.

Ikuti perkembangan terperinci dalam Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini.