Kejayaan membelasah Brazil 6-0 cukup bermakna buat penyerang, Azrai Aizad Abu Kamal dan Mohd Akhimullah Anuar Esook, yang meniti karier antarabangsa dengan langkah kanan.

Azrai makin yakin untuk mencipta nama di pentas tertinggi apabila menjaringkan gol antarabangsa kedua dalam karier ketika Malaysia membuka kempen Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Jaringan pemain kelahiran Perak berkenaan pada minit ke-65 melebarkan rekod jaringannya selepas meledak gol sulung dalam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), bulan lalu.

"Kami tidak boleh terlalu yakin. Kekalahan 1-2 China kepada Itali malam tadi mungkin didorong oleh sikap terlalu yakin.

"Kami tidak boleh bermain secara individu dan seeloknya kami mengamalkan permainan secara berpasukan," ujar Azrai.

Akhimullah pula mencatat penampilan antarabangsa pertamanya dengan kemenangan.

Penyerang kelahiran Terengganu itu beberapa kali hampir menjaringkan gol, namun apa yang lebih penting ialah kemenangan pasukan.

"Ia salah satu kejayaan yang baik buat saya dan pasukan.

"Ini kejayaan tiga mata buat pasukan dan saya anggap sebagai rezeki.

"Saya mahu buat yang terbaik lagi sambil cuba mendapatkan jaringan pula selepas ini," kata Akhimullah.