Penyerang negara, Faizal Saari, akan menjadi tumpuan ketika Malaysia membuka kempen Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH menentang Brazil di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini dengan persoalan adakah dia mampu mempertahankan reputasi selaku penjaring terbanyak Malaysia dalam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS 2019) bulan lalu.

Faizal berkongsi tangga kedua senarai penjaring terbanyak PSAS 2019 dengan enam gol.

Justeru, dia akan menjadi tumpuan pertahanan Brazil dengan membawa reputasi sebagai penyerang utama dan pakar pukulan sudut penalti negara.

Apatah lagi, pemain negara kian menyesuaikan diri dengan variasi taktikal Roelant Oltmans sejak tamat PSAS.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran khusus untuk jaringan dalam setiap perlawanan.

"Saya hanya menetapkan sasaran untuk bermain dengan bagus sebab kami akan beraksi sebagai tuan rumah.

"Hari-hari saya berlatih dan saya ingin buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa saya masih berbisa walaupun umur sudah meningkat," katanya.

Sesi latihan skuad negara di Bukit Jalil semalam turut menyaksikan kelibat penyerang muda, Akhimullah Anuar Esook, yang dipilih untuk menggantikan Shahril Saabah yang digugurkan akibat kecederaan bahu.

Oltmans menganggap Akhimullah penyerang sejati selepas meledak 11 gol dalam kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) dan penjaring terbanyak Sukan Olimpik Remaja 2018.

"Dia merupakan mesin gol, dia telah membuktikannya dalam kejohanan utama dan turut mempamerkan sentuhan pemusnahnya ketika dalam sesi latihan.

"Apabila situasi memerlukan saya untuk membuat penggantian penyerang, lantas saya tidak ragu-ragu lagi untuk menyenaraikan Akhimullah," terang Oltmans.