Akhir Siri Hoki FIH: Dhaarma terap taktikal baru kekang lawan 

Oleh Staff Writer 20 Mei 2019 584
Akhir Siri Hoki FIH: Dhaarma terap taktikal baru kekang lawan 
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengharapkan taktikal barunya yang dikenali sebagai "taktikal zonal" mampu merealisasikan hasrat mereka untuk layak ke play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dhaarma serta 18 anak buahnya akan menggalas cabaran dalam Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Belfast, Ireland Utara, 8-16 Jun ini.

Penguasaan dunia hoki yang melibatkan skuad wanita dan lelaki Belanda memancing perhatian Dhaarma untuk menerapkan beberapa taktikal sama yang perlu ada dalam pasukannya.

Menerusi fizikal pemain negara yang majoriti bertubuh kecil, Dhaarma menganggap taktikal zonal mampu membantu skuad negara untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Taktikal zonal menyaksikan lebih daripada seorang pemain ke kawasan D atau bantuan segera daripada pemain lain sekiranya berhadapan situasi satu lawan satu.

"Biasanya, pemain negara berdepan kesukaran ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan pemain bertubuh besar.

"Dalam situasi itu, pemain negara negara tidak mampu mengekang pemain lawan, oleh itu kami perlu sentiasa bergerak secara sekumpulan," katanya.  

Dua tahun lalu, Dhaarma mempertaruhkan gerakan 'drag flik' istimewa daripada Nuraini Abdul Rashid dalam kempen Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium, namun langkah tersebut belum cukup buat Malaysia untuk mencuri tumpuan.

"Sebab itulah saya perlu mengadakan 22 perlawanan buat pasukan wanita negara sebab saya mahu mereka benar-benar memahaminya," tambahnya. 

Ia pendekatan sama yang digunakan skuad hoki lelaki Belanda yang berada di ranking ketiga dunia sementara skuad hoki wanita Belanda menguasai ranking utama dunia.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen