Pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, belum mampu menarik nafas lega untuk mencerahkan laluan mereka ke pusingan seterusnya di sebalik
keputusan positif yang konsisten dalam Kejohanan Hoki Pusingan Akhir Siri FIH 2019.


Selepas mencatat kemenangan ketiga menentang Perancis semalam, skuad Malaysian Tigress berjaya melangkah ke separuh akhir dan Dhaarma mahu anak buahnya memberi tumpuan penuh menentang Korea Selatan.

Pengendali itu tidak mahu terlalu memikirkan tentang perbezaan ranking dengan lawan yang kini berada di kedudukan ke-11 dunia berbanding tangga ke-22 buat skuad kebangsaan, sebaliknya mahu pasukannya terus bersemangat bekerja keras.

"Perlawanan dengan Korea Selatan yang berada di tangga ke-11 memang sukar, di mana kami hanya berada di ranking 22. Korea Selatan juga adalah pasukan yang memiliki reputasi hebat dalam Piala Dunia," katanya.

Sementara itu, Dhaarma berpuas hati dengan prestasi ditonjolkan anak buahnya, termasuk pemain muda, sejak kejohanan itu bermula 8 Jun lalu.

Kemenangan 3-2 ke atas Perancis diraih hasil jaringan Nuraini Abdul Rashid, Fatin Shafika Shukri dan Hanis Nadiah Onn.

"Kami mengambil keputusan untuk membawa masuk beberapa pemain baru dan mereka telah menunjukkan persembahan yang membanggakan," tambah Dhaarma.