Akhir Siri Hoki FIH: China yakin, Kanada ada ramuan

Oleh Staff Writer 24 April 2019 626
Akhir Siri Hoki FIH: China yakin, Kanada ada ramuan
Ketua jurulatih skuad hoki China, Kim Sang Ryul, menyuarakan impiannya untuk menarik perhatian dunia sebagai pasukan berprestasi cemerlang dalam Kejohanan Final Siri Hoki Dunia di Bukit Jalil, bermula Jumaat ini. 

Meskipun China mempertaruhkan 11 pemain yang berpengalaman di pentas Sukan Olimpik, Sang Ryul tetap mahu anak buahnya lebih berwaspada dengan ancaman Malaysia dalam saingan Kumpulan B. 

Pasukan di ranking ke-13 dunia itu sudah bersedia untuk menghadapi Itali dalam aksi pertama walaupun hanya melalui lima siri perlawanan persahabatan dengan Jepun sebagai persiapan sepanjang tahun ini.

"Malaysia dan Kanada masih pasukan yang lebih baik berbanding kami.

"Saya tidak tahu kekuatan pasukan lain kerana saya tidak pernah melihat mereka beraksi secara langsung, terutama Brazil.

"Namun, kami akan tetap berhati-hati," katanya. 

Dalam pada itu, jurulatih Kanada, Paul Bondy, menganggap pencapaian tempat keempat dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, bulan lalu masih belum meletakkan pasukan itu dalam keadaan selesa untuk mencabar saingan Kumpulan A.

Kanada, yang akan turun selaku pasukan di ranking ke-10 dunia, akan memperbaiki kelemahan daripada segala aspek untuk muncul dua pasukan terbaik dalam kejohanan itu. 

"Apa yang paling penting adalah kami mendapatkan slot kelayakan.

"Ia bermakna kami perlu mara ke final.

"Saya berasakan pasukan-pasukan lain juga mahu memenanginya kerana terdapat pasukan yang berada di ranking yang baik dalam kejohanan ini.

"Selepas itu, kami akan beralih kepada satu lagi kejohanan yang kami mahu memenanginya juga, jadi itulah sasaran kami," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen