Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengesahkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sudah menawarkan tempat buat Malaysia untuk menjadi tuan rumah pusingan play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

"Terpulang kepada FIH, apapun Malaysia sanggup menganjurkannya.

"Kalau diberi peluang, Insya-Allah kami akan terima dengan hati terbuka," kata Subahan.

FIH menawarkan tugas penganjuran itu kepada Malaysia andai lawan yang memiliki ranking dunia lebih tinggi tidak bersedia menjadi tuan rumah.

Buat masa ini, belum diketahui siapa lawan Malaysia dalam play-off kelayakan Sukan Olimpik itu kerana perlu menunggu keputusan ketiga-tiga Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH tamat.

Jika keadaan berpihak kepada Malaysia, ia akan menjadi kelebihan untuk menamatkan kemarau selepas kali terakhir skuad hoki layak ke Sukan Olimpik adalah dalam temasya Sydney 2000.

Dalam perkembangan lain, KHM mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat sebelum Malaysia memulakan cabaran menentang Brazil di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.

"Kita hanya merancang, tuhanlah yang menentukan.

"Kami mengadakan majlis ringkas ini demi kejayaan kami," ujarnya.