Pakar pukulan sudut penalti Brazil, Matheus Borges, meramalkan tugas sukar untuk menggegar pintu gol Malaysia dalam Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH malam ini walaupun mencipta nama selaku penjaring terbanyak liga domestik 2018 dengan 19 gol.

Borges cukup digeruni dalam Liga Hoki Brazil.

Itu cerita di Brazil tetapi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pertahanan itu akan berdepan tugas sukar untuk menewaskan pelari pertama Malaysia selain penjaga gol, Hairi Abd Rahman.

Rekod satu pertemuan di antara kedua-dua pasukan -- Malaysia menang 3-2 ke atas Brazil pada 2015 --memaksa Borges lebih banyak mengkaji corak Malaysia bertahan ketika menghadapi pukulan sudut penalti lawan menerusi video.

"Sudah tentu kami mengkaji corak permainan Malaysia, bukan sahaja corak serangannya, malah aspek pertahanannya juga.

"Kami banyak membuat kajian. Kami ada melihat rakaman cara Malaysia mengambil pukulan sudut penalti selain sukar untuk mengekangnya.

"Kami akan berusaha sedaya-upaya," katanya.

Selain Borges, Brazil juga memiliki seorang lagi pemain yang mampu mengambil pukulan sudut penalti.

Brazil tewas tiga perlawanan dan seri sekali dalam aksi pemanas badan di Kuala Lumpur.

Namun, kali ini semua pemain sudah tiba, termasuk enam pemain yang beraksi dalam liga Eropah.

"Sudah tentu saya ingin menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh tetapi matlamat utama saya adalah membantu pasukan.

"Kami teruja untuk beraksi dalam kejohanan peringkat tinggi," katanya lagi.