Pemain hoki remaja terbaik dunia, Fabian Unterkircher, berkeyakinan pasukannya, Austria, mampu menyingkirkan Malaysia dalam separuh akhir Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Bukit Jalil, malam esok, dengan kehadiran lapan pemain yang membantu pasukan itu muncul juara Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Munich, Jerman, tahun lalu.

Austria merupakan gergasi baru dalam sukan hoki dalam dewan selepas muncul juara Eropah dan dunia.

Selain Unterkircher, terdapat tujuh lagi pemain senior yang mengecap kejayaan sama, malah ada antara mereka yang beraksi dalam liga di Belgium dan Belanda.

Mereka memainkan tugas penting ketika membantu pasukan di ranking ke-19 dunia itu menjuarai saingan Kumpulan A.

"Kami mengekalkan perancangan seperti hoki dalam dewan di mana setiap pemain perlu berusaha keras.

"Setiap pemain di setiap posisi tidak boleh berehat untuk memastikan kemenangan pasukan," katanya.

Austria meraih kemenangan ke atas Belarus 5-0 dan Wales 2-0 selain tewas kepada Kanada 1-2 dalam aksi peringkat kumpulan.

Dalam dua pertemuan lalu dengan Malaysia, skuad kendalian Tomasz Szmidt itu tewas sekali dan seri sekali.

"Anda boleh menggunakan kemahiran hoki dalam dewan sewaktu beraksi di padang kerana adakalanya kita tidak perlu melakukan hantaran tinggi dan hanya perlu melihat rakan-rakan untuk melakukan hantaran mudah," kata pertahanan Austria, Patrick Schmidt.