Pemain tengah skuad hoki wanita negara, Fazilah Sylvester Silin, berdepan tugas getir untuk mempertahankan kedudukan dalam skuad kebangsaan ekoran kebangkitan pemain muda menjelang Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 di Ireland Utara, bermula 8 Jun ini.

Fazilah berdepan cabaran sengit untuk mempertahankan reputasinya sebagai perancang utama negara.

Ketika ini, skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu memiliki lima lagi pemain tengah selepas kepulangan semula Noor Hasliza Md Ali selain kehadiran pemain muda seperti Wan Nor Faizah Sayuti, Fatin Shafiqah Mohd Sukri dan Nor Haslinda Ali.

Perkembangan itu secara tidak langsung meningkatkan lagi persaingan untuk merebut tempat 18 pemain terbaik ke Ireland.

"Pemain senior dan pelapis bersaing secara sihat dan ia membantu meningkatkan prestasi kami.

"Pemain tidak berasa tergugat tetapi dalam masa sama, berwaspada untuk sama-sama memberi saingan untuk merebut tempat," jelasnya.

Skuad wanita perlu layak ke final untuk mengikuti jejak langkah pasukan lelaki yang mara ke play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Republik Czech, dan Singapura.

Aksi pemanas badan itu menyaksikan Malaysia seri 2-2 ketika menentang Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) lelaki di Bukit Jalil, awal pagi tadi.

"Hantaran, kecergasan skuad wanita negara semakin meningkat," kata jurulatih RAMD, Anuyari Mohamad.

Pemain turut bersahur di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, selepas tamat perlawanan.